Sunday 25 May 2014

Peristiwa Isra Mi’raj


Pada bulan Rejab ini, telah tercatat satu peristiwa yang sangat penting untuk kita sama-sama hayati, iaitu pada tanggal 27 Rejab tahun ke 11, selepas Nabi Muhammad S.A.W diangkat menjadi Rasul, dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah al-Munawwarah telah berlaku peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat yang pertama : 

Maksudnya : "Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palastin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepada-Nya tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami, sesungguhnya Allah jualah yang Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui." 

Sesungguhnya peristiwa ini merupakan salah satu bukti mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah Taala yang telah memperjalankan diri Rasulullah SAW, dari Masjidil Haram di Mekah al-Mukarramah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palastin, kemudian Nabi S.A.W diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT lalu menerima perintah ibadah solat, di mana semua ini berlaku hanya pada satu malam sahaja. 

Ulama telah menyimpulkan beberapa sebab Rasul S.A.W diundang untuk bertemu dengan Allah S.W.T iaitu :- 

1. Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas Nabi diuji dengan kewafatan dua orang yang paling rapat dan banyak berkorban membantu Baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah, iaitu isteri baginda yang tercinta, Saidatina Khadijah ra dan bapa saudara kesayangan Baginda Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah, apabila umat Islam yang minoriti dipulaukan oleh kaum musyirikin Quraisy. Maka undangan Allah ini ialah untuk menghiburkan hati Baginda Rasul S.A.W yang sedang berdukacita. 

2. Baginda diundang untuk menerima kefardhuan solat lima waktu. Perkara yang nyata di dalam pertemuan Baginda S.A.W dengan Allah S.W.T, di mana ibadah solat menjadi tunjang kepada amal ibadah yang lain. Ini sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah S.A.W: 

Maksudnya: "Bahawasanya pertama sekali yang dihisab pada seseorang hamba di hari kiamat ialah solatnya (sembahyangnya)." (Hadis riwayat At-Tirmizi) 

3. Manakala Imam Fakhrurrazi di dalam kitabnya (Tafsir al-Kabir) menyatakan apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam potongan ayat yang pertama dari surah al-Isra’ : “لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا” maknanya "untuk kami memperlihatkan dari tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami "memberi pengertian, bahawa Allah S.W.T mahu memperlihatkan apa yang telah disediakan sebagai balasan kepada hamba-hambanya di akhirat, tentang keindahan syurga dan kecelakaan neraka, Baginda diperjalankan dengan mahkluk Allah yang bernama buraq (بُرَاق) menjelajah bumi dan angkasa lepas yang begitu luas, dapat menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah S.W.T, maka dengan ini telah menambahkan keimanan dan keyakinan di dalam jiwa Baginda, sehingga Baginda dapat terus berusaha dengan lebih sempurna dalam menyampaikan risalah tauhid. 



Wallahua’lam